Sorry sebab tak dapat nak update blog hari-hari. Anyway, I'll keep on writing, just it will take times to upload it. ^^
"Tersedak aku mendengar kata-kata abang. Cepat-cepat aku mencapai gelas air dan meneguknya.
“Abang ni biar betul?” Aku pula yang terlebih dahulu menyoal sebelum sempat ibu dan ayah bersuara. Abang mengangguk-angguk dan kak Yen pula tersenyum senang.
“Sembilan bulan bukan sekejap, endun. Hati-hati kalau nak buat sebarang pekerjaan,” kata ibu kemudiannya.
“Baik benar berita yang kamu bawakan malam ni, Igat,” sambung ayah sambil mengucap syukur kepada Tuhan Sang Pencipta Alam. Di dalam hati aku turut bersyukur.
Aku pula yang teruja mendengar berita yang abang sampaikan. Patutlah abang dan kak Yen bertandang ke rumah malam ini. Patutlah juga mood abang baik petang tadi. Ada berita gembira yang hendak disampaikan.
“Abang, kalau perempuan, letak nama Angelia okey? Kalau lelaki, letak nama Angelo,” kataku. Kak Yen terus ketawa.
“Kenapa mesti nama ‘Angel’ juga kat depan tu?” abang mengerutkan dahi.
“Mestilah, abang. Saya kan bakal aunty kepada baby yang akak kandungkan tu,” sahutku.
“Tak boleh, sebagai bakal daddy, abang yang akan bagi nama pada anak abang,” abang enggan mengalah. Aku pura-pura merajuk. Aku tahu abang sangat gembira kerana bakal menyambut kelahiran anak pertamanya dan aku tidak mahu merosakkan kegembiraan abang.
“Baik jika kita adakan majlis kesyukuran di atas pemberian-Nya ini. Agaknya bila masa yang kamu berdua nak rancang, Igat? Yen?” ayah bertanya kepada abang. Abang menyerahkan semuanya kepada ibu dan ayah. Maka semua bersetuju majlis kesyukuran diadakan pada 27 Disember tahun ini, dua hari selepas Hari Krismas. Aku pula yang tidak sabar-sabar menanti kelahiran anak buahku walaupun kandungan kak Yen baru berusia beberapa minggu.
“Ayah, rasanya saya dan Yen nak balik ke kampung Yen. Kami bercadang nak bawa Apai Yen ke sini bersama untuk majlis kesyukuran dan Krismas sekali,” abang menyuarakan keinginannya dan kak Yen. Aku melihat ayah dan ibu mengangguk setuju. Aku yakin ayah dan ibu juga sebenarnya ingin sekali bertemu dengan besan mereka. Lagi pula, ayah kak Yen tinggal berdua dengan adik lelaki kak Yen yang berusia 16 tahun. Seorang lagi adik lelaki kak Yen yang berusia 21 tahun masih belajar di universiti di Shah Alam.
Aku melihat kak Yen dan ibu sudah mula mengemas meja. ‘Bila pula ayah dan abang beredar dari meja makan?’ fikirku. Aku lantas menyuap suapan terakhir, bangun dan sama membantu. Kak Yen ku suruh berehat memandangkan rahimnya sedang mengandungkan bakal anak buahku. Aku tidak mahu sesuatu terjadi pada kak Yen dan kandungannya yang baru berusia 3 minggu itu. Aku pula yang tidak sabar-sabar menanti.